10/5/2015 - Seramai 7 orang penghuni dengan diiringi 4 orang kakitangan RSK Kangar telah mengikuti malam penutup Perkampungan Sunnah yang berlangsung di Masjid Syed Alwi, Kangar.
Jabatan Mufti Negeri Perlis bercadang menjadikan Perkampungan Sunnah sebagai program tahunan pada masa akan datang ekoran sambutan di luar jangkaan bukan sahaja rakyat negeri ini malah dari luar Perlis. Muftinya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, ini kerana Perkampungan Sunnah yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-72 Tuanku Raja Perlis buat pertama kali diadakan bermula sekarang sehingga Ahad ini dilihat mampu menarik perhatian ramai pencinta ilmu dari luar untuk datang ke Perlis.
“Program ini memang dirancang sebaik saya memegang semula jawatan Mufti kerana mahu orang datang ke Perlis dengan konsep menuntut ilmu secara beramai-ramai menerusi ‘Perkampungan Sunnah’,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Alwi di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, sepanjang tiga hari itu, pelbagai program keagamaan akan dijalankan bermula dari pagi hingga ke malam.
“Pengisian program itu termasuk kuliah subuh, kuliah dhuha, tazkirah asar, telaah kitab, bedah buku, kuliah maghrib, forum ilmiah melibatkan lebih 20 penceramah termasuk dari luar Perlis,” katanya.
Selain itu katanya, juga diadakan program riadah iaitu acara memanah dan juga senam robik pada sebelah petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan