Selasa, 10 Mac 2009

SOALAN LAZIM

1. Saya seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dan fakulti saya bercadang untuk melakukan sebuah program Ramah Mesra bersama penghuni di RSK Kangar? Bolehkah kami mengadakan program berkenaan?
Boleh. Sebarang program lawatan, gotong-royong, jamuan, sesi ramah mesra, pertunjukan amal, dan sebagainya boleh dilakukan di RSK. Tetapi encik perlulah mengemukan surat permohonan rasmi kepada Penguasa Rumah Seri Kenangan Kangar dan melampirkan tentatif program yang akan diadakan. Pihak RSK akan memaklumkan kebenaran program tersebut kepada encik setelah menyemak jadual penghuni dan kesesuaian masanya. Sebagai maklumat, RSK Kangar sebagai sebuah institusi tumpuan yang sesuai untuk aktiviti kemasyarakatan dan kerja sosial, kami menerima lawatan hampir setiap minggu. Ada masanya, kami menerima kunjungan hampir setiap hari!

2. Bagaimana saya boleh menderma kepada penghuni di RSK?
Encik boleh datang ke pihak pengurusan RSK untuk berbuat demikan. Kami menerima pelbagai sumbangan berbentuk wang,  makanan dan sebagainya terutama menjelang musim perayaan. Segala sumbangan encik akan direkodkan dan diuruskan dengan penuh kredibiliti.


3. Mostly the old folks in RSK were muslim. I wanna ask you, how you manage the funeral if non-muslim resident passed away?
Thank you for asking. As you might know, we have our own 'ustaz' for muslim funeral. As for non-muslim, if the person is a Buddhist, Mr. Yap from our Lembaga Pelawat comity will arrange the funeral. If the person is a Hindu, Mr. Sritaran from Lembaga Pelawat will handle the funeral.  All this funeral services and costs will be paid by the federal government.

4. Saya berjalan di tempat awam dan menjumpai seorang tua yang terdampar di mesin ATM. Bolehkah saya bawa warga emas berkenaan untuk tinggal di RSK?
Tindakan yang sebaiknya adalah menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan. Kerana kemasukan ke institusi kami berasaskan kriteria dan syarat-syarat tertentu setelah menjalani proses siasatan kes. RSK HANYA menerima permohonan yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah atau Mahkamah. Mungkin warga emas berkenaan seorang yang masih mempunyai waris, atau mungkin hanya kuturayau atau mungkin pengemis, atau juga seorang yang kurang waras. Siasatan akan dijalankan ke atasnya, kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai unit-unit tertentu bagi mengendali kes-kes tersebut. Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mempunyai beberapa institusi mengikut kes klien kami itu sendiri.

5. Seorang penghuni di dalam RSK kangar mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saya. Tetapi hubungan kami hanya 'bau-bau bacang', saya kasihan melihatnya sendirian di RSK. Bolehkah saya mengambilnya untuk bermalam di rumah saya beberapa hari dan membawanya beriadah?
Pihak RSK memang mengalakan saudara mara penghuni membawa penghuni bercuti dan mengeratkan kembali tali silaturahim. Sekurang-kurangnya masih ada ahli keluarga yang mengingati mereka. Kebenaran bercuti ini akan diluluskan oleh Penguasa atau pegawai yang bertugas.

6. Saya difahamkan RSK Kangar hanya menempatkan penghuni warga emas yang sihat dan boleh menguruskan diri. Tetapi melalui lawatan sekolah saya minggu lepas, saya lihat terdapat beberapa orang penghuni terlantar dan uzur?
Soalan yang baik. Benar, pada dasarnya RSK Kangar menerima kemasukan penghuni yang sihat tanpa penyakit berjangkit, boleh berdikari dan sebagainya. Tetapi harus diingat, kebanyakan penghuni yang dimasukan ke sini akan tinggal untuk sepanjang hayat mereka. Sebagai manusia, sebahagian dari kita akan melalui proses yang mana kita akan mula nyanyuk, mudah mendapat penyakit, rabun, osteperosis dan lumpuh. Dan perkara ini dilalui oleh sebahagian besar penghuni kami, walaupun mereka sihat di hari pertama mereka di sini. Jadi, tidak semua penghuni di sini meninggal dunia dengan cara sakit tua. Ada diantaranya disebabkan diabetis, serangan jantung, kanser dan sebagainya. Kami hanya sekadar merancang dan memberikan khidmat yang terbaik, tetapi Tuhan yang menentukan segalanya.

7. Saya seorang siswa dari USM berharap dapat membuat latihan ( praktikal ) di Rumah Seri Kenangan Kangar. Bolehkah yang berbuat demikian?
Seperti yang anda sedia maklum, institusi ini berada dibawah pentadbiran kerajaan persekutuan, jadi anda boleh memohon dengan mengemukan permohonan untuk membuat latihan di sini dengan surat rasmi ke:

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
Aras 18
No 55 Persiaran Perdana
Presint 4, 62100 Putrajaya.
( u.p: Bahagian pengurusan  )
Tel: +03-8323 1766
Faks: 03-8323 2091

8. Saya seorang pelajar UUM ingin merakamkan beberapa gelagat dan aksi penghuni rumah kebajikan sebagai melengkapkan projek pengajian saya. Bolehkah saya berbuat demikan?
Untuk makluman saudara, para penghuni yang ditempatkan di institusi ini mempunyai berbagai-bagai karenah, mereka dimasukkan ke institusi kebajikan ini untuk tujuan perlindungan. Dan seringkali apabila gambar-gambar ini didedahkan oleh pihak media akan terjadinya salah tafsiran kerana setiap gambar mampu memberi berbagai cerita. Malah cerita yang boleh memberi tanggapan negatif yang tidak langsung mengambarkan situasi sebenar.

Maka dengan itu, rakaman gambar adalah isu sensitif dan amat dikawal di institusi kebajikan. Namun, saudara masih boleh memohon untuk berbuat demikian kepada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia seperti alamat di atas. Dan kami kakitangan RSK Kangar akan memberi kerjasama sebaiknya jika kebenaran diluluskan. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
Aras 18,
No 55 Persiaran Perdana,
Presint 4, 62100 Putrajaya.
( u.p: Bahagian pengurusan Tertinggi  )
Tel: +03-8323 1777
Faks: 03-8323 2092

9. Saya mempunyai pakaian-pakaian lama dan ingin mendermakan pakaian tersebut ke RSK Kangar? Adakah institusi tuan menerima sumbangan demikian?
Pihak kami seringkali menerima sumbangan pakaian terpakai sebelum ini kerana tidak mahu mengecilkan hati orang ramai. Namun, dari pengalaman kami pakaian-pakaian yang didakwa 'masih elok dan cantik' tersebut bukanlah seperti yang digambarkan. Kebanyakan pakaian terpakai yang kami terima tidak sesuai dipakai oleh warga emas. Jika dilihat pakaian-pakaian tersebut hanya dikumpulkan untuk tujuan pembersihan kediaman-kediaman penderma. Ia pilihan sama ada dibuang atau dihantar ke RSK. Jadi ia menjadi satu bebanan kepada pihak RSK untuk melupuskan pakaian-pakaian yang sepatutnya dikategorikan sampah. Oleh itu pihak RSK Kangar tidak lagi menerima pakaian terpakai. Hayatilah maksud firman Allah swt ini;


"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya". Surah Ali 'Imran ayat 92

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji". Surah Al-Baqarah ayat 267

Tiada ulasan:

Catat Ulasan